14 Januari, 2013

Majlis Perasmian Persidangan Transformasi Perundangan Berhubung Dengan Keselamatan Dan Hak Asasi


“Permulaan Baharu untuk Malaysia”

Bismillahirahmanirahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

YAA Tun Arifin b. Zakaria
Ketua Hakim Negara

YAA Tan Sri Dato’ Seri Zulkefli b. Ahmad Makinudin
Hakim Besar Malaya

YBhg. Tan Sri Abdul Gani Patail
Peguam Negara

YDH Tan Sri Haji Ismail b. Hj Omar
Ketua Polis Negara

Menteri-menteri Kabinet

Ketua-ketua Setiausaha Kementerian

Tuan-tuan dan Puan-puan hadirin yang dihormati sekalian.

1. Pertama sekali, saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara, Razak School of Government serta Institut Terjemahan dan Buku Negara atas penganjuran bersama persidangan hari ini.

2. Sebagai individu yang percaya terhadap manfaat daripada perbincangan dan polemik yang dinamik terhadap isu dan idea yang melibatkan kepentingan umum, saya yakin perbincangan yang bakal berlangsung dalam seminar tentang perimbangan Hak dan Tanggungjawab; Kebebasan dan Keselamatan ini akan mencetuskan kefahaman yang lebih jelas mengenai perubahan yang sedang berlaku dan halatuju masa depannya di Malaysia.

3. Sebagai rakyat Malaysia, kita amat bertuah kerana semenjak memperoleh kemerdekaan lebih lima puluh lima tahun dahulu kita telah hidup dalam suasana yang aman dan makmur. Bagi memastikan apa yang kita warisi hari ini terus dinikmati generasi mendatang misalnya, sistem demokrasi berparlimen, sistem persekutuan dan Raja Berperlembagaan, maka bapa-bapa pengasas negara telah terpaksa menghadapi serta menangani dengan jayanya pelbagai ancaman dan cabaran termasuklah komunisme, konfrontasi, gejala perkauman, kerapuhan perpaduan nasional dan kemiskinan.

4. Keupayaan kita untuk membina sebuah negara majmuk yang berjaya tanpa mengorbankan prinsip teras demokrasi menjadikan negara kita sebagai salah satu daripada hanya beberapa buah negara dalam dunia yang berupaya untuk berbuat demikian.

5. Sejarah menunjukkan amalan demokrasi di negara ini tidak pernah terputus semenjak rakyat buat kali pertamanya mengundi sebagai sebuah negara merdeka pada tahun 1959 kecuali untuk tempoh kurang dua tahun apabila negara diletakkan di bawah pemerintahan MAGERAN pasca tragedi 13 Mei 1969. Jika boleh saya kongsikan pengalaman peribadi di sini. Ketika ayahanda saya dilantik sebagai Pengarah MAGERAN, beliau tidak sabar-sabar untuk mengembalikan kuasa kepada Parlimen. Sejarah juga menjadi saksi bahawa tidak pernah ada kudeta tentera di Malaysia kerana prinsip “civilian supremacy” sentiasa difahami dan dihormati semua pihak begitu juga tidak pernah ada dan tidak mungkin akan ada sistem satu parti di Malaysia kerana rakyat Malaysia mempunyai sudut pandangan berbeza yang sihat.

6. Bagi generasi hari ini guna untuk menyongsong obor ini kepada generasi berikutnya, amat penting untuk kita memahami mengapa, bagaimana dan dalam situasi apakah peraturan dan dasar tertentu diwujudkan. Kadangkala kita lupa bahawa kesepaduan sosial yang yang dirintis oleh nenek moyang kita dan yang kita kecapi hari ini sebenarnya masih lagi rapuh. Kesepaduan sosial ini boleh hancur pada bila-bila masa jika kita tidak berhati-hati menangani dan menguruskannya. Dengan kesedaran ini, pemimpin terdahulu sentiasa berusaha bagi mencapai keseimbangan yang betul bagi melindungi hak individu di samping memastikan terpeliharanya kepentingan kolektif demi kesejahteraan masyarakat secara keseluruhannya.

Tuan-tuan dan Puan-puan,

7. Kedaulatan undang-undang merupakan asas sebuah masyarakat demokratik. Ia mengikat kita sebagai sebuah negara, ia menentukan perhubungan mengikut lunas undang-undang antara individu dan individu serta di antara warganegara dan kerajaan. Ia merupakan prinsip yang penting bersama-sama ketertinggian Perlembagaan dan kebebasan kehakiman bagi memastikan setiap orang dilindungi dengan sewajarnya. Kerajaan akan tetap komited bagi mempertahan dan memelihara ketiga-tiga prinsip asasi ini.

8. Amalan demokrasi telah diwujudkan semenjak penggubalan Perlembagaan Persekutuan. Kepentingan semua etnik dan agama yang pelbagai telah dilindungi. Semuanya diberikan hak yang sama untuk mengundi dan diundi ke jawatan yang dipilih serta mendapatkan kebebasan asasi seperti kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan, hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing dengan bebas, hak untuk perlindungan undang-undang yang sama rata serta hak untuk mendapatkan pekerjaan, pendidikan dan pemerolehan harta. Dengan berbuat demikian, kita mempertahan dan meraikan kepelbagaian sebagai sumber kekuatan dan bukannya punca kelemahan. Mengekalkan keamanan menjadi perkara paling utama. Kita telah mengadakan 12 pilihanraya umum sejak kemerdekaan dan semuanya diadakan dalam penjadualan pilihan raya seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan. Peralihan kuasa, berikutan daripada pilihan raya, telah berlangsung dengan aman. Inilah tradisi kita.

9. Bagi kerajaan, tindakan meminda, memansuhkan dan menukar undang-undang serta pengisytiharan tidak diasaskan berdasarkan keuntungan politik atau “political expediency” sebaliknya Kerajaan meminda, memansuh dan menukar undang-undang setelah menyelami aspirasi rakyat, setelah merasai denyut nadi dan mendengar keluh kesah mereka, kesimpulannya kerana ianya “the right thing to do”.

10. Dalam usaha untuk menghindarkan negara kita daripada berakhir dengan huru-hara dan kekacauan, menjadi tanggungjawab kita sebagai pemimpin, ahli perundangan dan masyarakat madani untuk sentiasa memastikan hak dan kebebasan rakyat kita dilindungi, tetapi pada masa yang sama diseimbangkan dengan kepentingan kolektif. Konsep kebebasan, hak dan keselamatan adalah penting untuk mencapai keadilan sosial. Penting untuk diingati bahawa hak seseorang individu dan tanggungjawabnya terhadap masyarakat tidak boleh diasingkan kerana masyarakat menggambarkan seseorang individu tersebut. Jika kesejahteraan masyarakat terjaga, kesejahteraan individu juga akan turut terjaga. Inilah intipati keadilan – semuanya mempunyai tempat dan had yang sewajarnya.

11. Pada masa ini, kita sering mendengar perkataan ‘kebebasan’ digunakan sebagai bermaksud kebebasan individu semata-mata, dan bagaimana dengan mempunyai kebebasan yang mutlak menjadi suatu manifestasi keadilan. Kita telah menyaksikan susurgalur bagaimana dalam rangka mengejar kebebasan bersuara individu di sesetengah negara, ianya telah mencabuli hak orang lain, yang akhirnya telah mengakibatkan reaksi yang negatif.

12. Seringkali diperbahaskan sejauh manakah seseorang individu mempunyai kebebasan mutlak dalam melaksanakan haknya seperti yang dijamin oleh undang-undang. Ia mungkin kelihatan jelas dan mudah bagi menjawab persoalan ini, tetapi sejarah dan pengalaman telah menunjukkan bahawa kerap kali keseimbangan yang berimbang mesti dicapai antara hak individu dengan kepentingan kolektif. Bukan sahaja bagi Malaysia, tetapi bagi setiap masyarakat demokratik di dunia. Saya berharap agar persidangan ini akan berupaya mengungkap cabaran yang akan dihadapi dalam proses ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

13. Kerajaan sentiasa komited bagi melahirkan persekitaran undang-undang yang lebih menyokong hak asasi manusia, dan dengan itu kami telah memansuhkan undang-undang yang sebelum ini menimbulkan polemik seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960, Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 manakala Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 telah dipinda sebagai memastikan bahawa janji telah ditepati. Pihak Kerajaan juga telah meminda Seksyen 27 Akta Polis 1967 dan menggubal serta menguatkuasakan Akta Perhimpunan Aman 2012. Bahawa perhimpunan yang berlaku semalam di Stadium Merdeka berlangsung secara aman ialah testimoni kepada kemampuan semua pihak, tidak kira pihak berkuasa mahupun pihak penganjur untuk mematuhi peruntukan dan semangat Akta yang ada. Tahniah di atas profesionalisme yang dipamerkan pihak berkuasa.

14. Pada 16 April 2012, kerajaan telah mengumumkan bahawa kami akan mengkaji sepenuhnya Akta Hasutan 1948 untuk digantikan dengan rang undang-undang bertajuk Akta Keharmonian Nasional. Penggantian ini adalah untuk mewujudkan mekanisme bagi mempertahankan kebebasan bersuara rakyat di samping terus memelihara ketenteraman awam dan keselamatan negara.

15. Contoh-contoh ini menunjukkan kesungguhan di pihak Kerajaan hari ini mengambil berat tentang kepentingan dan hak rakyat, sentiasa terbuka menerima setiap cadangan dan saranan demi menjadikan kita sebuah masyarakat yang lebih progresif. Pihak Kerajaan juga sedar bahawa undang-undang tentang kebebasan awam dan keselamatan negara perlu disesuaikan dengan proses dan amalan demokrasi yang bukan sahaja selaras dengan norma antarabangsa tetapi juga bertunjangkan sistem budaya, nilai dan norma kita.

16. Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi negara yang dilaksanakan hari ini disempurnakan oleh pelaksanaan Program Transformasi Politik. Program Transformasi Politik bermula dengan penghapusan undang-undang yang dikira tidak relevan dengan kehendak masa dan kematangan rakyat. Pengenalan undang-undang baru dan penambahbaikan undang-undang sedia ada yang lebih mencerminkan status kita sebagai sebuah masyarakat dan negara yang matang telah dilakukan.

17. Menjelang tahun 2020, kita perlu maju bukan sahaja dalam aspek angkatunjuk ekonomi tetapi juga perlu memastikan “Persaingan idea” yang sihat berlaku dalam semua spektrum. Pihak kerajaan senantiasa bersikap terbuka terhadap idea dan pendapat yang berbeza. Itulah sebabnya kita berkumpul di sini – untuk kita menyampaikan, mendengar, dan berbincang dengan pelbagai pihak berkepentingan. Kita tidak lagi berpegang pada prinsip “Kerajaan lebih mengetahui” sebaliknya, kita menekankan pewujudan masyarakat terbuka dan inovatif yang juga merupakan salah satu ciri demokrasi sebenar.

18. Pengalaman peribadi yang setiap dari kita alami adalah sesuatu yang penting dalam membentuk pengalaman keseluruhan masyarakat. Pengalaman peribadi dengan mudah boleh menjadi memori kolektif, terutamanya kerana kita semua berkongsi pendedahan yang serupa. Dengan kemajuan teknologi, terutamanya internet dan media sosial, pengalaman peribadi boleh menjadi satu bentuk memori kolektif yang pantas. Idea boleh tersebar dari satu tempat ke satu tempat lain dengan hanya mengklik tetikus dan mempengaruhi begitu banyak minda dalam masa yang singkat. Cara kita mengingati pengalaman sendiri dapat mempengaruhi pemikiran dan mengubah norma dan nilai kita. Pada zaman yang berubah dengan pantas, bagaimanakah harus kita menanganinya? Bagaimanakah dasar awam dapat disesuaikan dengan perubahan masyarakat? Saya menaruh harapan yang besar supaya persoalan ini akan terjawab dalam persidangan ini.

19. Dalam usaha menjadi sebuah negara maju, kita perlu merenung masa lampau supaya dapat benar-benar memahami langkah yang masih perlu diambil dan kesilapan yang perlu dielakkan. Tahun 2020 sudah semakin hampir, dan kita perlu bergerak pantas. Pada masa yang sama, kita perlu memastikan laluan ke arah transformasi tidak dipandang sambil lewa atau dianggap ringan. Setiap orang perlu terlibat dan bertanggungjawab membentuk Malaysia yang baharu demi kebaikan yang lebih besar bagi semua masyarakat. Kita perlu bijak berfikir dan memilih langkah. Kita memerlukan kesabaran dan ketabahan bagi mencapai matlamat kita. Lebih lima dekad telah diharungi untuk membentuk negara kita yang tercinta tetapi sekali sahaja tersilap langkah boleh mengancam negara sehingga mampu memusnahkannya.

20. Saya berharap agar persidangan ini akan berupaya memberi penjelasan tentang matlamat dan cabaran dalam mengubah undang-undang kita bagi membolehkan perlindungan hak asasi dan kebebasan yang lebih baik dilaksanakan, tanpa menjejaskan prinsip moral, keamanan dan keselamatan rakyat di negara ini.

21. Kerajaan komited bagi meneruskan jalan islah dan transformasi sama ada ianya bersifat politik, kerajaan mahupun ekonomi. Jalan regresif dan statik bukanlah satu opsyen. Dengan mengambil kira semua perkara ini, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat menghasilkan perbincangan yang produktif dalam beberapa hari ini.

22. Saya dengan sukacitanya mengisytiharkan “Persidangan Transformasi Perundangan Keselamatan dan Hak Asasi” dibuka dengan rasminya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sekian, terima kasih.

Shares Share Kategori : Speeches