5 Oktober, 2011

Pemansuhan Akta Kediaman Terhad


Tuan Yang di-Pertua,

Ahli-ahli Yang Berhormat,

Semasa menyampaikan perutusan khas sempena Hari Malaysia ke-48 pada 15 September 2011 baru-baru ini, saya telah mengumumkan permulaan Program Transformasi Politik Negara sebagai pelengkap kepada Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) yang sedang berlangsung. Ketiga-tiga prakarsa ini, bersama-sama Model Baru Ekonomi bermatlamat untuk memastikan wawasan kebangsaan ke arah sebuah negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 akan dapat dicapai.

Sesungguhnya, teras utama Program Transformasi Politik mengambilkira aspirasi nasional ke arah sebuah Malaysia moden, demokratik,   progresif lagi maju dan memiliki demokrasi yang berfungsi. Semua ini tidak lain tidak bukan, adalah untuk menyeimbangkan keperluan keselamatan kebangsaan dan kebebasan individu dengan mengambilkira kemajmukan negara yang kompleks sifatnya, dan, ancaman keganasan global, pasca tragedi 11 September 2001.

Seperkara amat jelas, perjalanan yang kita mulakan ini, bukanlah disebabkan tekanan mana-mana pihak sama ada dari dalam mahupun dari luar. Bukan pula ia berlaku kerana sebarang kekhuatiran apatah lagi kebimbangan.

Sebaliknya, langkah-langkah penting sebegini diatur derapnya justeru kerajaan Barisan Nasional adalah sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kerajaan yang merasai denyut nadi rakyat, mendengar keluh kesah massa dan memahami aspirasi ramai semenjak daripada dahulu.

Kalau hendak disimpulkan, segala-galanya adalah hasil kumulatif pembangunan dan kemajuan negara dipelopori tentunya oleh kerajaan yang sama semenjak kita merdeka. Ia sebenarnya adalah puncak cita-cita bapa-bapa pengasas pertiwi yang mewariskan kepada kita prinsip-prinsip kenegaraan seperti ketertinggian perlembagaan, kedaulatan undang-undang, pemisahan kuasa, kebebasan kehakiman, demokrasi berparlimen dan sistem raja berperlembagaan. Pada akhirnya ia adalah satu tindakan yang menunjang di atas keputusan yang betul, benar dan telah tiba waktunya.

Tuan Yang di-Pertua,

Dalam ucapan sempena Hari Malaysia tersebut jua saya telah mengumumkan bahawa proses transformasi ini buat permulaan akan membabitkan pemansuhan tiga proklamasi darurat sedang berjalan. Ini termasuk darurat Tahun 1969 yang melibatkan seluruh negara, pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 yakni ISA, Akta Buang Negeri 1959, dan kajian semula yang membabitkan Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 serta Seksyen 27 Akta Polis 1967.

Tuan Yang di-Pertua,

Saya berdiri di Dewan yang mulia pada hari ini bagi memulakan proses mengotakan janji kerajaan. Hakikatnya, amat jarang di dunia bagi sebuah kerajaan yang sedang berkuasa untuk secara sukarela memudarkan kuasa yang dimiliki.

Namun begitu, kerajaan ini insaf bahawa amanah untuk mengurustadbir negara tercinta perlu diasaskan kepada kerelaan serta kepercayaan rakyat terbanyak dan bukannya atas dasar kuasa yang mampu menggusarkan.

Barang harus diketahui lagi, bahawa, kerajaan tidak mengimpi pada suatu kuasa yang mutlak atau sekalipun tampak mutlak kerana ia bertentangan dengan citra hidup demokratik yang kita semua dambakan. Sesungguhnya kuasa, adalah satu amanah, bukannya satu keistimewaan.

Kita mengambil keputusan ini dengan penuh kesedaran bahawa matlamat tertinggi sebuah kerajaan rakyat, dari rakyat dan untuk rakyat adalah kebajikan dan kesejahteraan warganegaranya. Kita berusaha dan berikhtiar demi negara dan anak-anak cucu yang mempunyai hak terhadap hari muka lebih baik, sarat dengan harapan.

Sekonyong-konyong terdapat pula polan-polanah yang mula berkokok bahawa kerajaan kononnya sedang mengambil atau meniru cadangan daripada sesetengah pihak.

Walhal, tiada siapa pun yang mempengaruhi kita, tiada siapa pun yang mendesak kita. Kerajaan ini membuat keputusan atas kehendak dan fikrah sendiri dengan memulakan proses islah dan penambahbaikkan. Ujiannya, sama ada kita mengotakan janji atau tidak, pihak lain boleh saja tanpa segan silu atau semberono mengaku bahawa ini adalah idea atau pandangan mereka. Sedangkan mereka bukanlah kerajaan yang diberi mandat oleh majoriti rakyat untuk menunaikan apa yang dijanjikan.

Tuan Yang di-Pertua,

Kerajaan telah mengambil keputusan untuk memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933   kerana undang-undang tersebut sudah lapuk ditelan zaman dan tidak lagi relevan dengan keadaan semasaberlandaskan dua faktor utama:

Pertamanya: Prinsip Demokrasi dan Keadilan

Malaysia merupakan negara yang mengamalkan sistem demokrasi semenjak mencapai kemerdekaan. Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-Undang adalah dua daripada lima prinsip Rukun Negara yang menjadi ideologi kebangsaan.

Sejajar dengan kemajuan dan pembangunan sosioekonomi yang telah berlaku hasil daripada perancangan rapi serta pelaksanaan berkesan kerajaan semenjak lebih lima dekad lalu, maka sudah tiba masanya untuk kita akur dengan lanskap sosiopolitik dan sosioekonomi yang telah berubah. Kontemporari menuntut kita untuk mengkaji semula undang-undang serta amalan yang tidak selaras dengan prinsip asas demokrasi dan keadilan.

Sehubungan dengan itu, sebagai asasnya, tindakan terhadap orang yang melakukan kesalahan jenayah hendaklah diambil di bawah undang-undang sedia ada dengan mematuhi prinsip bahawa, sebarang hukuman hendaklah berdasarkan sabitan oleh mahkamah selepas mengambil kira segala bukti, sesuai dengan prinsip universal.

Di samping itu, ia juga adalah seiring dengan semangat maqasid syariah dan prinsip usul fiqah “bahawa perkara yang yakin itu tidak akan diselindungi yang syak”. Di sudut lain, maxim perundangan common law menyebut “It is better that ten guilty men go free than that one innocent men to be convicted.”.

Lantaran itu, kerajaan percaya bahawa pihak Polis Diraja Malaysia kini amat berkebolehan untuk mengumpul bukti secara saintifik dan sistematik dengan adanya peningkatan kemahiran dan kelengkapan teknologi moden bagi membolehkan pendakwaan dilakukan. Serentak itu, kerajaan komited terhadap penambahbaikkan profesionalisme pihak Polis DiRaja Malaysia di dalam usaha memerangi jenayah secara berkesan. Kerajaan juga berpegang kuat bahawa ia dilakukan dalam batas-batas keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan pemeliharaan hak asasi manusia.

Tuan Yang di-Pertua,

Faktor keduanya: Faktor kemajuan ICT dan Urbanisasi

Dewasa ini menyaksikan, kemajuan teknologi komunikasi dan maklumat telah mengurangkan keberkesanan sempadan fizikal. Perancangan dan pelaksanaan suatu jenayah hari ini tidak memerlukan kehadiran fizikal. Ia boleh dilakukan beribu kilometer dari lokasi sebenar.

Sebagai contohnya, jika dahulu, individu menjalani perintah kediaman terhad diasingkan dan dipindahkan ke kawasan terpencil. Hari ini, dengan kemajuan prasarana fizikal, sistem pengangkutan dan proses urbanisasi, hampir dua pertiga Malaysia sudah menjadi kawasan bandar. Sebahagian besar ceruk dan pelosok negara sudah boleh dihubungi.

Tambahan lagi, dalam era jalur lebar mudah alih, telefon pintar, e-mel,skype, faks dan wifi, terbukti pengasingan fizikal melalui pemakaian perintah kediaman terhad tidak lagi berkesan. Malah, perhubungan secara maya atau virtual menjadi jalan alternatif kepada individu yang disekat untuk berhubung secara fizikal.

Tuan Yang di-Pertua,

Ahli-ahli Yang Berhormat,

Berdasarkan fakta-fakta yang telah saya kemukakan tadi, Akta Kediaman Terhad 1933 sudah terang tidak diperlukan lagi dan pada hemah kerajaan, pemansuhan Akta ini merupakan suatu keputusan yang wajar.

Dengan demikian, saya ingin mengumumkan bahawa Menteri Dalam Negeri akan membebaskan    kesemua 125 individu yang ditahan di bawah Perintah Kediaman Terhad dengan serta merta.

Serentak dengan itu, Kementerian Dalam Negeri juga akan membatalkan lebih 200 waran yang belum disampaikan dengan serta merta.

Pucuk pangkalnya, saya dan rakan-rakan tidak akan sekali-kali berganjak dari meneruskan perjalanan bahkan makin komited untuk membuat yang terbaik demi keharmonian negara. Sesungguhnya, ini hanyalah satu permulaan.

Shares Share Kategori : Speeches