26 Jun, 2009

Sambutan Hari Antidadah Antarabangsa 2009


TEKS UCAPAN
Y.A.B. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HJ ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA SAMBUTAN HARI ANTIDADAH ANTARABANGSA 2009
DI PEJABAT PERDANA MENTERI, PUTRAJAYA

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu wata’ala kerana dapat menyampaikan pesanan dan amanat kepada seluruh rakyat Malaysia sempena sambutan Hari Antidadah Antarabangsa pada tahun 2009 ini.

2. Seperti yang kita maklum, tarikh 26 Jun telah diisytiharkan sebagai Hari Antidadah Antarabangsa semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1987. Sambutan ini bertujuan untuk menyokong matlamat yang dipersetujui oleh PBB dalam mencapai Masyarakat Antarabangsa Bebas Dadah. Bertitik tolak dari situ, negara kita Malaysia amat komited kepada usaha mencapai sasaran Malaysia Bebas Dadah menjelang tahun 2015.

3. Sesungguhnya, kita amat sedar bahawa masalah dadah merupakan masalah global yang merentasi sempadan, tidak mengira sama ada negara maju mahupun negara mundur. Justeru, strategi hubungan kerjasama antarabangsa perlu diperluaskan dan dipertingkatkan bagi menangani cabaran ini secara kolektif dan efektif.

Saudara dan saudari,

4. Tema Hari Antidadah Antarabangsa pada tahun ini jika diterjemahkan berbunyi “Adakah dadah, menguasai hidup anda? Tiada tempat untuk dadah dalam hidup anda dan masyarakat anda”. Jelasnya, tema ini memberi penekanan terhadap 3 isu utama iaitu penyalahgunaan, penanaman serta penghasilan dan penyeludupan dadah.

5. Pada hemah saya, tema ini sangat mustahak bagi meningkatkan kesedaran setiap individu tentang dahsyatnya dadah sama ada ia berpunca dari jenis seperti candu, heroin, morfin, kokain dan ganja atau pun dadah jenis sintetik yang sangat popular masa kini seperti Ecstacy, Ice dan Syabu.

6. Ketahuilah bahawa, penagihan dadah sebegini boleh mendatangkan penyakit kronik kerana ia membawa pergantungan kepada dadah secara fizikal dan psikologikal. Sehubungan dengan itu, sesiapa sahaja yang terjebak ke dalam kancah penagihan sudah tentu sukar untuk berpatah balik ke pangkal jalan lalu terjerumus melakukan keganasan dan jenayah berat.

7. Dari itu, saya percaya setelah kita berjuang selama 26 tahun membanteras dadah secara serius sejak tahun 1983, sepatutnya setiap masyarakat telah terdidik dan mempunyai kesedaran yang tinggi tentang bahayanya dadah.

8. Tambahan lagi, untuk mengharungi arus globalisasi yang penuh dengan cabaran ini, melalui Konsep 1 Malaysia yang berteraskan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan” kerajaan meletakkan rakyat sebagai keutamaan. Oleh yang demikian, kita akan terus mengambil langkah-langkah tegas dan pragmatik bagi menangani masalah penagihan dadah ini supaya ianya tidak membantutkan usaha pembangunan modal insan, perkembangan ekonomi, keselamatan dan kestabilan negara.

9. Malah, dalam tuntutan ini juga saya sering menekankan bahawa kejayaan kita memerangi dadah ini bukanlah terukur dengan beberapa banyak pusat-pusat serenti yang didirikan tetapi ia terletak kepada sejauh manakah keberhasilan kita memulihkan para penagih tersebut.

10. Di sini, saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Malaysia amat prihatin dan memandang serius terhadap masalah dadah yang sedang kita hadapi. Hakikatnya juga, tanggungjawab membanteras gejala dadah bukan sahaja terletak kepada kerajaan semata-mata tetapi tanggungjawab ini perlu dibantu dan disokongoleh pihak swasta, badan-badanbukan kerajaan (NGO’s), pemimpin-pemimpin politik, pemimpin-pemimpin masyarakat dan seluruh masyarakat.

11. Selain daripada itu, saya dengan tegasnya juga ingin menyeru pihak-pihak berkuasa agar sentiasa meningkatkan keselamatan negara bagi memerangi kegiatan penyeludupan dadah dan pengeluaran dadah secara habis-habisan di negara kita ini.

12. Akhir kata, saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia agar kita jangan sesekali berputus asa dalam usaha murni kita ini untuk memastikan kita semua bebas dari dadah. Ingatlah“DADAH PEMUSNAH, MUSNAHKAN DADAH”.

Sekian, Wabillahi Taufik Walhidayah Wasalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches