30 Mac, 2009

Transkrip Penggulungan Usul Ekonomi


TRANSKRIP PENGGULUNGAN USUL EKONOMI
OLEH YAB MENTERI KEWANGAN
28 MAC 2009 (SABTU)
DI DEWAN MERDEKA, PWTC
———————————–

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi
Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia
Dan YABhg Datin Seri Jeanne Abdullah

YB Naib-Naib Presiden, Ketua Wanita, Pemuda, Puteri, Ahli-ahli Majlis Tertinggi

Dan Tetamu istimewa, YABhg Tun Dr. Mahathir Mohamad
dan YABhg Tun Siti Hasmah,

Sidang perwakilan, pemerhati yang saya hormati sekalian.

Persidangan kita pada kali ini, selain daripada merupakan persidangan yang amat bersejarah, ianya juga menuntun kepada sedikit kelainan. Saya akan berucap di sini pada kali pertama, semasa penggulungan ini pertamanya sebagai Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden untuk menjawab usul ekonomi yang telahpun dibahas. Ini merupakan ketetapan yang telah dibuat oleh persidangan ataupun mesyuarat Majlis Tertinggi. Selepas ini, YAB Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi akan membuat ucapannya, dan insya-Allah saya akan membalas ucapan YAB Presiden parti kita.

Yang pertamanya, saya mengucap terima kasih kepada jurucakap-jurucakap yang telah membahaskan usul ekonomi semalam iaitu wakil dari neger Pahang, Perlis, Kelantan, Kedah, Wilayah Persekutuan, dan wakil Wanita. Sepertimana yang kita sedia maklum, keadaan ekonomi Negara akan menghadapi laluan yang agak sukar pada tahun ini dan barangkali juga untuk tahun hadapan. Ini berpunca daripada kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat dan juga Eropah. WTO telah mengeluarkan reportnya yang terkini, bahawa perdagangan dunia ataupun world trade akan menyusut sebanyak 9% pada tahun ini, merupakan penyusutan terbsar sejak Perang Dunia yang ke-2. Justeru itu sebagai sebuah ekonomi yang terdedah kepada kesan ekonomi global dan pendedahan ini adalah kerana kejayaan kita selama ini mengembangkan perdagangan negara kita sehingga menjadi antara negara yang tertinggi di dunia dari segi perkembangan perdagangan. Namun sekiranya perdagangan dunia merosot, maka sudah tentu kesan dan tempiasnya akan dirasai oleh ekonomi Malaysia. Oleh itu untuk tahun ini kita menjangka bahawa pertumbuhan 1% negatif dan 1% positif mungkin akan jadi kenyataan. Walaubagaimanapun kita akan menempuh tsunami ekonomi ini dengan langkah-langkah pemantapan melalui usaha-usaha mikro dan makro termasuk melaksanakan segera pakej-pakej rangsangan.

3. Sehubungan dengan ini dalam Bajet 2009 YAB Perdana Menteri telah mengumumkan pakej ataupun bajet berjumlah RM206 bilion. Saya bagi pihak kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Pertama berjumlah RM 7 bilion, dan Pakej Kedua pula berjumlah RM60 bilion. Pada tahun hadapan kemungkinan kita akan pruntukkan sejumlah RM200 bilion lagi. Ini bererti dalam tempoh masa dua tahun, sebanyak lebih kurang RM470 bilion akan dibelanjakan untuk menjana ekonomi negara dengan lebih baik. Walaubagaimanapun, keberkesanannya pemulihan ekonomi negara hanya akan menjadi kenyataan sekiranya ekonomi dunia pulih. Kita mungkin melalui projek rangsangan menambahkan pertumbuhan 1 atau 2% dari segi KDNK, tetapi untuk kembali ke pertumbuhan 6-7% bergantung kepada pemulihan ekonomi dunia.

Dalam pada itu saya ingin menegaskan bahawa melalui keprihatinan kerajaan maka segala usaha akan diteruskan supaya rakyat akan dapat perlindungan yang sebaik-baiknya. Kesejahteraan rakyat akan terus diutamakan oleh kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional. Sebagai bukti, jumlah subsidi pada tahun 2008, berjumlah RM34.1 bilion dan subsidi pada tahun ini untuk mengawal harga diesel, gas memasak, gandum, roti, gula, tepung, beras, buku teks, biasiswa, pendidikan, kebajikan, tol lebuhraya berjumlah hampir RM28 bilion ringgit. Inilah contoh yang jelas bahawa dalam keadaan ekonomi dunia mengalami keadaan yang amat sukar, tetapi kerajaan UMNO dan Barisan Nasional tetap akan memperjuangkan kepentingan rakyat.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Banyak telah dibicarakan tentang Pakej Rangsangan dan ramai yang mengetahui sejak mana pelaksanaannya. Hampir semua yang bercakap telah mengingatkan pada kerajaan bahawa yang amat penting ialah pelaksanaannya ataupun delivery. Untuk tujuan ini, sesuai dengan prinsip kerajaan yang telus, maka sukacita saya memaklumkan bahawa sebuah laman web khas akan dilancarkan dalam masa kira-kira dua minggu lagi untuk memberi segala maklumat butiran tentang pelaksanaan Pakej Rangsangan Pertama dan Pakej Rangsangan Kedua. Setakat ini, untuk makluman sidang perwakilan, jumlah yang telah dibayar pada saat ini ialah sebanyak RM216 juta untuk 3839 projek. Akhir bulan April ini, dijangka RM1.5 bilion akan dibelanjakan untuk 10,000 projek dan pada akhir bulan Mei ini, RM5.2 bilion akan dibelanjakan untuk 38,000 projek.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan saudara sekalian,

Projek-projek ini, bila dilaksanakan, kebanyakan daripada projek-projek ini akan memberi faedah kepada kontraktor-kontraktor kelas F yang kebanyakannya merupakan penyokong setia kepada UMNO dan Barisan Nasional.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Selain daripada itu, saya ingin mengambil masa yang sedikit saja lagi untuk menyatakan tiga konsep yang akan menjadi pendekatan kerajaan selanjutnya.

Yang pertama, waktu YAB Pak Lah mengemudikan kerajaan selama ini, YAB Pak Lah selalu menyebut tentang nilai tambah, ataupun value-added. Saya nak cuba gandingkan konsep Pak Lah dan satu lagi yang saya nak utarakan di sini, yakni selain daripada nilai tambah, kita gandingkan dengan konsep nilai tinggi, ataupun high-value. Nilai tambah kita semua faham. Misalnya, kalau kita mengeluarkan sesuatu hasilan, dan hasilan itu diproses, maka ianya boleh mendatangkan nilai tambah. Tapi konsep nilai tinggi ataupun high-value ialah untuk mencari bidang-bidang tertentu yang boleh memberi pendapatan yang lebih lumayah kepada pengusaha-pengusaha. Sebagai contoh dalam bidang pertanian misalnya. Perusahaan burung walet, ataupun birds’ nest merupakan satu projek nilai tinggi yang boleh diusahakan oleh pengusaha-pengusaha Melayu dan Bumiputera kita. Saya melihat banyak tanah-tanah, terutama sekali di negeri Pantai Timur, dan juga di negeri-negeri Pantai Barat ini juga yang boleh dijadikan sebagai tanah untuk diusahakan perusahaan burung walet ataupun birds’ nest ini. Satu lagi, rumpai laut ataupun seaweed yang boleh diusahakan dan dieksport ke negara-negara maju seperti negara Jepun. Ikan hiasan, perusahaan awana yang diusahakan syarikat bukan Bumiputera hari ini sudahpun disenaraikan di Bursa Saham.

Saya tidak pasti cadangan wakil Perlis yang sebut tentang pelbagai jenis kopi semalam. Kopi jantan, kopi jagat, kopi kawe. Tapi yang sedapnya bila disebut, ‘kopi kawe ni ada khasiatnya; dia bangun sebelum kita bangun’. Ada pulak pemerhati sebut, ‘ya, dia bangun sebelum kita bangun, tapi jangan pula dia tidur sebelum kita tidur’.

Sidang perwakilan sekalian,

Saya nak sebut konsep yang kedua, yakni konsep bahawasanya dua cabaran besar yang kita hadapi sekarang. Satu: memulihkan ekonomi, memulihkan kemelut ekonomi ini, dan kedua: membuat persiapan untuk masa depan kita. Bererti bahawa kita mesti merumuskan satu halatuju baru kerana apabila ekonomi dunia pulih nanti, kita mesti pastikan kita mempunyai daya saing yang kukuh untuk berjaya di persada antarabangsa. Sehubungan dengan ini, dunia bergerak dari satu fasa ke satu fasa. Daripada fasa pertanian (agriculture) kepada fasa indsutri kepada apa yang dikatakan knowledge-based. Hari ini orang sebut tentang innovation economy. Bererti bahawa kalaulah kita nak maju nanti, kita mesti mampu untuk membuat inovasi. Bagaimana kita nak buat inovasi ini? Inilah satu perkara yang saya akan huraikan nanti. Bukan dalam persidangan ini, tapi saya nak pastikan bahawa dalam sistem kita ini termasuk dalam sistem persekolahan, kita mesti mendidik, melatih rakyat Malaysia, mampu berinovasi untuk melonjakkan kita ini.

Dan yang ketiga, saya nak tekankan betapa pentingnya kita beza antara produktiviti dan kreativiti. Contoh mudah, produktiviti: kalau dulu kerja lapan jam, kini kita kerja 10 jam, itu peningkatan produktivit. Tetapi kalaulah kita ada solution yang kreatif, kita boleh mencapai bukan peningkatan tetapi lonjakan berganda. Dan inilah yang saya harap kita akan dapat: pendekatan pemikiran creative solution, ekonomi yang inovatif, dan insya-Allah daya saing yang lebih tinggi.

Saya tidak lupa bahawa dalam keadaan kemelut ekonomi ini, mungkin agenda Melayu dalam soal ekonomi tidaklah begitu terserlah dalam keadaan ini. Tetapi percayalah, sidang perwakilan sekalian, bahawa UMNO tidak lupa, bahawa kita perlu memperkuatkan kedudukan orang-orang Melayu dalam bidang ekonomi. Dan agenda ini mesti kita teruskan. Beberapa buah syarikat yang telah kita kenalpasti, umpamanya, dalam sidang yang sama tahun sudah, saya sebut tentang Skim Jaya, Jejak Jaya Bumiputera, maka syarikat-syarikat tersebut mungkin tak dapat disenaraikan tahun ini, tetapi insya-Allah apabila sampai masa ekonomi pulih, kita akan senaraikan lebih banyak syarikat-syarikat Bumiputera di Bursa Saham.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Saya juga mengambil teguran dari sidang perwakilan tentang peranan GLCs yang dikatakan oleh seorang wakil bahawa ada seorang yang duduk dalam 60 buah syarikat. Saya dah semak perkara ini, dan ini tidak mungkin disebabkan mengikut peraturan sekarang, seorang hanya boleh menjawat 10 jawatan Ahli Lembaga Pengarah dalam syarikat yang tersenarai dan 15 dalam syarikat Sendirian Berhad. Kalau ada maklumat yang sebenarnya, kalau silap saya, tolong beritahu. Saya tidak akan benarkan sesiapa memegang jawatan begitu banyak sekali.

Saya juga mendengar harapan saudara sekalian tentang peranan GLC, kalau boleh lantiklah lebih ramai orang UMNO menduduki GLC. Saudara sekalian, kita perlu memperseimbangkan antara peranan peranan GLCs untuk membawa keuntungan. Apabila GLCs untung, dividen pulang balik ke Khazanah, dan Khazanah akan pulang kepada kerajaan. Bila kerajaan ada dividen lebih, lebih besar lagi peruntukan pembangunan boleh disediakan untuk kesejahteraan rakyat. Jadi kalau kita nak lantik orang UMNO, dia mesti di kalangan orang UMNO yang mampu memberi sumbangan dan tambahan nilai kepada syarikat-syarikat kerajaan. Mudah-mudahan dengan cara seperti ini, kita dapat menjamin ekonomi negara kita lebih kukuh lagi, insya-Allah

Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian,

Perkara-perkara lain saya ambil maklum di sini, kerana sudah tentu yang lebih diminati ialah bab politik dan perkara-perkara berhubung dengan peralihan kepimpinan. Jadi saya akan ada peluang mengulas perkara ini selepas ini. Cukuplah setakat ini bab ekonomi. Kita ambil perhatian, yang penting kita bersatu padu dan memberi sokongan kepada kerajaan dalam usaha pemulihan ekonomi negara.

Terima kasih.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Shares Share Kategori : Speeches